Al-Maaturidiyyah
Di sebelah timur negara Islam iaitu di daerah Maturid, wilayah
Samarkand, lahir sarjana Islam yang bernama Muhammad bin Muhammad bin
Mahmud Abu Mansur Maturidi. Beliau lahir pada tahun 332 Hijrah. Beliau
membawa aliran ideologi akidah dalam fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah bagi
menghadapi beberapa penyelewengan pada zamannya. Beliau adalah sarjana
Islam dalam mazhab Hanafi.
Beliau muncul di Asia Tengah pada waktu masyarakat Islam dilanda
aliran ideologi yang menyeleweng daripada akidah yang sebenar. Antaranya
mazhab Muktazilah, Mujasimah, Muhammad bin Karam Sajassatani iaitu
pemimpin fahaman Karamiah, Qaramitah yang dipimpin oleh Hamdan As’ ad,
Jaham bin Safuan iaitu pemimpin fahaman Jahamiah, dan ahli tasauf Husin
bin Mansur al-Halaj. Imam Abu Mansur Maturidi membawa peranan yang besar
bagi menghadapi penyelewengan-penyelewengan yang dilakukan oleh mereka.
Walaupun beliau hidup sezaman dengan mazhab Imam Abu Hasan al-Asy’
ari, namun beliau mempunyai teknik berhujah dan huraian yang berbeza.
Para sarjana Islam menyatakan, Imam Abu Mansur Maturidi lebih cenderung
kepada pendapat Imam Abu Hanifah dalam perkara akidah. Ini kerana beliau
merujuk risalah-risalah dan buku-buku yang ditulis oleh Imam Abu
Hanifah seperti Fikh Akbar, Fikh Absat, Kitab Ilm dan sebagainya.
Terdapat beberapa perselisihan antara Abu Mansur Maturidi dengan Abu
Hassan al-Asy’ ari. Antaranya dalam isu Makrifatullah (mengenal Allah),
Abu Hassan menyatakan wajib mengetahuinya menurut sumber agama tetapi
Abu Mansur berkata wajib juga dengan berpandu dengan akal. Dalam isu
sifat-sifat Allah, Abu Mansur menambah dengan sifat-sifat maknawiyah
iaitu sifat yang menjadi penguat kepada sifat Ma’ani beserta sifat-sifat
Madani. Fahaman Maturidiah mewajibkan hukum akal beserta syarak
sehingga beliau berselisih dengan sebahagian sarjana Fikah dan Hadis.
Terdapat lagi huraian-huraiannya berhubung Qadak dan Qadar dan lain-lain
yang berbeza dengan huraian fahaman Asya’irah.
Abu Mansur Maturidi meninggalkan pusaka ilmu yang banyak selain
membela fahaman Ahli Sunnah bagi menghadapi pelbagai fahaman yang
menyeleweng. Pusaka ilmunya adalah murid-murid yang ramai dan
pengikut-pengikut yang meneruskan ajarannya. Antara murid-muridnya
adalah Abu Ahmad Iyad, Abu Qasim Hakim Samarkandi, Abu Hussin
Wastaqfani, Abdul Karim bin Musa Inbazadari, Abu Asyimah Abi Lais
Bakhari dan lain-lain. Antara pengikut-pengikut yang meneruskan
alirannya adalah Sadar Islam Abu Yasir Muhammad bin Muhammad bin Abdul
Karim Bazadui, Maimun bin Muhammad Nasfi yang dianggap tokoh sarjana
terbesar dalam fahaman ini selepas Abu Mansur. Adakala sebahagian
menganggap mereka adalah kumpulan kecil seperti Syaharsatani dalam
fahaman Asya’irah, Najmuddin Abu Hafiz Samarqandi Nasqi, Nuruddin Ahmad
bin Muhammad Syobuni, Bukamal bin Yam iaitu sarjana terbilang dalam
fahaman Hanafi dan lain-lain lagi.
Buku-buku yang dikarang oleh Abu Mansur Maturidi adalah buku Jadal
dan Ma ‘akhiz Syarai’. Kedua-dua buku ini membincangkan Usul Fikah.
Buku-buku dalam ilmu ketuhanan antaranya, Tauhid, Muqalaat, Ra’du Ala
Qawashat, Bayan Wahm Muktazilah, Ra ‘du Amamah Libaddu Rawafaz dan
banyak lagi. Apa yang mendukacitakan, buku-buku itu hilang begitu
sahaja. Buku yang masih tersimpan adalah buku Tauhid dan Maqalaat Selain
itu ada buku-buku beliau dalam ilmu yang lain.
Abu Mansur Maturidi juga seperti Abu Hassan Asy’ari yang membawa
pembaharuan dalam pengajian akidah. Beliau memasukkan hujah-hujah logik
akal semasa menghadapi perkembangan fahaman baru yang timbul pada
zamannya. Pada zaman para sahabat dan generasi awal kalangan tabi” in
termasuk imam-imam mujtahidin yang pertama lebih bergantung kepada
hujah-hujah teks daripada al-Quran dan hadis Nabi Muhammad sahaja.
Salafiah
Selepas lahir pelbagai teori mengenai akidah, lahir fahaman-fahaman
yang bukan sahaja berhujah dengan logik tetapi juga menggunakan
falsafah. Maka lahir pula dalam masyarakat Islam orang-orang yang mahu
supaya kembali pada sumber asal sahaja. Mereka muncul pada zaman terkini
iaitu pada kurun ke tujuh Hijrah. Sebenarnya, mereka adalah daripada
aliran Imam Ahmad bin Hanbal dan teori itu dihidupkan semula. Tokoh yang
terkemuka adalah Imam Ibnu Taimiyah. Beliau dan pengikut-pengikut
menentang keras golongan yang cuba menghurai ayat-ayat yang
mutashabihat. Golongan ini mahu supaya ayat-ayat yang mutashabihat tidak
dihurai. Mereka hanya menyebut sifat-sifat Allah berpandukan teks-teks
yang jelas dalam al-Quran dan hadis. Antara ayat-ayat yang mutashabihat
seperti nuzul (turun), istiwak (bersemanyam), al-dhahaq (ketawa)
dan lain-lain dengan tidak menyamakan Allah dengan makhluk.
Selain itu, mereka membangkitkan kembali isu amalan masyarakat dengan
huraian-huraian yang panjang mengenai dengan perkara-perkara
yang membawa kepada syirik, seperti kesilapan-kesilapan yang berlaku
dalam perkara tawassul (mohon perantaraan), ziarah kubur dan
sebagainya.
Mereka juga tegas menentang penggunaan ilmu logik menyebabkan
golongan salaf yang baru ini bergeser dengan fahaman Asya’irah dan
Maturidiah yang menjadikan ilmu logik sebagai sebahagian daripada
perbincangan akidah. Golongan salaf ini menolak huraian ayat-ayat
mutashabihat yang dilakukan oleh Asya’irah dan Maturidiah. Ibnu Taimiyah
yang hidup pada abad yang ketujuh Hijrah menjadi tokoh terkemuka dengan
mengemukakan hujah-hujah melalui buku-buku yang karangannya.
Oleh kerana aliran ini dibawa oleh Imam Ahmad bin Hanbal, mereka hanya meneruskan aliran yang dibawa oleh Imam Ahmad. Beliau ingin perbincangan dan pengajian akidah dikembalikan seperti zaman Nabi Muhammad, para sahabat dan tabi’in. Walaupun ada cabaran baru yang tidak ada pada zaman mereka, kadang-kadang hujah logik dan falsafah perlu digunakan bagi menolak hujah golongan-golongan seperti Muktazilah, Jabariah dan sebagainya.
Oleh kerana aliran ini dibawa oleh Imam Ahmad bin Hanbal, mereka hanya meneruskan aliran yang dibawa oleh Imam Ahmad. Beliau ingin perbincangan dan pengajian akidah dikembalikan seperti zaman Nabi Muhammad, para sahabat dan tabi’in. Walaupun ada cabaran baru yang tidak ada pada zaman mereka, kadang-kadang hujah logik dan falsafah perlu digunakan bagi menolak hujah golongan-golongan seperti Muktazilah, Jabariah dan sebagainya.
Wahabiah
Fahaman Wahabi yang tersebar di Arab Saudi dan beberapa daerah dalam
dunia Islam ditaja oleh pemimpinnya Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab. Ia
adalah kesinambungan daripada aliran salaf yang dibawa oleh Imam Ahmad
dan Ibnu Taimiyah. Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab mendapat kekuatan
apabila beliau bergabung dengan keluarga Ibnu Saud. Akhirnya, mereka
berjaya mengambil alih kuasa di Semenanjung Arab dan membentuk kerajaan
beraja Arab Saudi.
Fahaman Wahabi dengan tegasnya mengemukakan dua prinsip yang penting
iaitu tauhid yang bersih dari sebarang syirik, dan menghalang sebarang
bentuk bid’ah (ajaran baru). Halal dan haram diambil terus daripada
sumber al-Quran dan hadis Nabi Muhammad. Sebarang perkataan sarjana
Islam perlu dikaji semula, lalu mereka membuka kembali ruang
mengeluarkan hukum dengan luas. Mereka menentang ziarah kubur wali-wali
dan menganggap amalan ini membawa kepada syirik. Namun, hukum berbeza
apabila menziarahi kubur bagi tujuan mengambil pengajaran dan
memperingati hari akhirat bukannya dengan tujuan berdoa kepada si mati
atau bertawassul melalui orang yang sudah mati. Semasa mereka menguasai
Mekah dan Madinah, mereka bertindak merobohkan bangunan-bangunan yang
didirikan atas kubur-kubur para sahabat, para tabi’in dan tempat-tempat
bersejarah yang dipuja secara melulu.
Mereka menentang perayaan seperti maulid (sambutan hari lahir) dan
sebagainya yang tidak ada pada zaman Nabi Muhammad dan mengemukakan
beberapa pendapat yang lebih keras daripada Imam Ahmad bin Hanbal dan
Ibnu Taimiyah. Fahaman ini disokong oleh gerakan Syeikh Muhammad Abduh
di Mesir, Syeikh Abdul Hamid bin Badis di Algeria, Syeikh Ahmad di
Punjabi, India dan beberapa tempat lagi dunia Islam.
KESIMPULAN MAZHAB AHLI SUNNAH WAL JAMAAH
Kesemua mereka yang disebut di atas adalah daripada golongan Ahli
Sunnah wal Jamaah. Walaupun terdapat pertelingkahan dan perselisihan
yang keras dan tajam antara satu sama lain, namun pertelingkahan itu
tidak tersasar daripada dasar-dasar akidah. Walau bagaimanapun, ia boleh
membawa kesan-kesan buruk dalam hubungan sesama umat Islam.
Perselisihan pendapat dan pentafsiran itu adalah perbezaan fahaman dalam
mentafsirkan teks yang sama dan kadang-kadang kerana perbezaan masa dan
tempat serta cabaran yang dihadapi dan keperluan hujah bagi menghadapi
cabaran luaran.
Dengan kemudahan sumber-sumber rujukan dan hubungan yang ada pada
zaman ini menghidupkan semula persefahaman sesama aliran. Pada masa yang
sama ia tidak dihabiskan dengan pertelingkahan sesama sendiri tetapi
lebih memberi tumpuan bagi menghadapi masalah pokok yang melanda umat
Islam dan menentang musuh yang sebenarnya.
Kuliah Jumaat Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu
10 November 2006
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu
10 November 2006

