Sejarah Mazhab Qadiani atau Ahmadiah
Ajaran ini diasaskan oleh Mirza Ghulam Ahmad al-Qadiani. Qadian
adalah gelaran tempat kelahirannya di salah sebuah bandar di wilayah
Punjab, India. Apabila ajaran al-Babiah dan al-Baha’i mendapat sokongan
penjajah di Iran, ajaran Qadiani, Qadianiah atau Ahmadiah pula mendapat
sokongan penjajah Inggeris di India dengan tujuan merosakkan akidah umat
Islam dari dalam. Ia juga bagi mewujudkan masalah dalaman umat Islam
sehingga meredakan penentangan mereka kepada penjajah.
Pengasasnya mempunyai latar belakang sejarah yang tidak baik sejak
awal lagi. Keluarganya menjadi hamba kepada penjajah Inggeris di India.
Dia dilahirkan pada tahun 1839 atau 1840 Masihi. Dia mempelajari ilmu
bahasa Arab seperi nahu dan sorof. Selain itu, dia juga mempelajari ilmu
bahasa Inggeris, ilmu perubatan dan juga ilmu tilik nasib daripada
ayahnya yang pernah menjadi penilik nasib.
Pada mulanya, dia menunjukkan sikap berpegang pada ajaran Islam
sebenar dengan membela agama dan bersedia mengarang kitab bagi tujuan
itu. Dia berjaya mengumpulkan sumbangan wang dan tenaga oleh masyarakat
di tempatnya yang menyokong usahanya itu. Namun, secara tiba-tiba dia
menyeleweng dan menyebarkan ajaran itu dengan mendakwa nabi Isa sudah
wafat dan kuburnya terletak di India. Hujahnya adalah apabila Nabi Isa
diburu oleh puak pelampau Yahudi, beliau berhikrah ke Kashmir dan
tinggal di sana sehingga meninggal dunia. Beliau meninggal dunia semasa
berusia 120 tahun dan dikuburkan di sana. Walaupun teorinya secara jelas
menunjukkan pembohongan dan rekaan semata-mata, terdapat segolongan
umat Islam yang mempercayainya.
Kemudian, dia mengaku menjadi Imam Mahdi. Imam Mahdi adalah individu
yang dijanjikan oleh Nabi Muhammad akan lahir pada akhir zaman. Dia
membacakan hadis, setiap 100 tahun akan lahir pemimpin gerakan
pembaharuan (mujaddid). Akhirnya dia mendakwa dirinya adalah mujaddid
pada akhir abad ke-14 Hijrah.
Selepas berjaya mengumpul pengikut, dia menaikkan tarafnya dengan roh
Nabi Isa menjelma di dalam dirinya. Kemudian, dia mendakwa roh Nabi
Muhammad menjelma dalam dirinya. Akhirnya, kedua-dua roh nabi itu
berkumpul dalam dirinya.
Memandangkan para nabi mempunyai mukjizat, dia juga mendakwa
mempunyai mukjizat. Dia berkata, “Aku boleh mengadakan sejuta mukjizat.”
Namun, tidak ada satu pun mukjizat yang bedaku. Ada juga beberapa
ramalan yang dibuat olehnya seperti memberitahu saat kematian
penentangnya dengan tarikh yang ditetapkan tetapi ramalan itu tidak
berlaku.
Ajaran Qadiani bercanggah dengan rukun-rukun iman secara
terang-terangan. Antaranya rukun beriman pada Allah, para rasul dan hari
kiamat. Kesesatannya semakin jelas terdedah apabila gerakannya disokong
kuat oleh penjajah Inggeris di India. Pihak Inggeris memberi kebenaran
kepada Mirza Ghulam Ahmad bagi menyebarkan ajarannya di negara-negara
umat Islam. Sebagai tanda sokongan, pihak Inggeris memberikan kawasan
penempatan yang mereka namakan Rabwah di daerah Punjab bagi dijadikan
pusat gerakannya di seluruh India dan seluruh dunia Islam. Gerakan ini
diberikan pelbagai kemudahaan bergerak dengan harapan gerakan ini dapat
memecahkan kesatuan umat Islam dan meredakan tentangan mereka kepada
penjajah.
Kuliyah Jumaat 07 September 2007
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu