Pertembungan Agama Dan Kemajuan
Pada masa kini, manusia merasakan diri mereka maju dengan mencipta
ajaran-ajaran baru. Ajaran-ajaran baru itu tidak lagi dinamakan agama
tetapi mereka menamakan dengan ideologi atau teori. Ia bermaksud
fahaman-fahaman, cita-cita, haluan dan aliran pemikiran. Ia bukan sahaja
pendapat tetapi keyakinan akidah yang diperjuang dengan
bersungguh-sungguh dan penuh pengorbanan.
Aliran ini berasal dari Eropah yang memisahkan kehidupan mereka
daripada agama. Kristian kini dikuasai oleh unsur penyembahan berhala di
Eropah kerana agama yang didakwa diajarkan oleh Nabi Isa sebenarnya
diseleweng dan hanyut daripada hakikatnya yang sebenar. Oleh itu, ia
dibawa ke Eropah dalam keadaan yang tidak lengkap. Ada pindaan-pindaan
yang diubahsuai menurut kemahuan kerajaan Rom. Syeikh Abu Hasan Ali
an-Nadawi menegaskan dalam bukunya Maza Khasira al-Alam Bi Hitot
al-Muslimin, Kristian berjaya dalam bidang ketenteraan tetapi mereka
gagal dalam bidang agama. Mereka berjaya mendirikan empayar Rom yang
besar tetapi meleset dalam bidang akidah. Oleh kerana unsur penyembahan
berhala mengatasi Kristian dan mempengaruhi ajarannya, Kristian terus
diseleweng oleh orang-orang Yahudi yang tidak menerima Nabi Isa dan
menentangnya dengan sekeras-kerasnya.
Agama Islam yang bersikap sempurna dan lengkap bukan sahaja berjaya
dalam bidang akidah, tetapi juga berjaya dalam bidang tamadun dunia.
Kemajuan dunia mempengaruhi orang-orang Eropah mempelajari tamadun Islam
di Baghdad dan Andalus. Mereka tidak menerima Islam tetapi mereka
membawa perubahan melalui tamadun kebendaan ini dan mencetuskan kemajuan
kebendaan yang pesat di Eropah. Kemajuan ini tidak dapat diterima oleh
penganut-penganut Kristian yang fanatik. Berlaku pertembungan sehingga
menyebabkan lahirnya ideologi-ideologi atau teori-teori baru yang
berpandukan kepada unsur kebendaan dan perasaan, sama ada menolak agama
atau menerima agama sebahagian daripada keperluan manusia.
Perkara yang menjadi perhatian adalah ajaran-ajaran ini dibawa masuk
ke negara-negara Islam dan menjadi senjata serangan pemikiran yang
berkesan pada masa kini. Ia dapat menjauhkan mereka daripada Islam
dengan cara dan hujah tidak menolak Islam dan masih mengakui sebagai
peganut Islam. Ia berjaya menyesatkan akidah atau sekurang-kurangnya
memecahkan umat Islam kepada pelbagai ideologi dan kumpulan yang
memperjuangkan ideologi itu sehingga berlaku pertarungan sesama sendiri
dan hanyut jauh daripada Islam secara sedikit demi sedikit. Benar
kenyataan Allah dalam surah Ali Imran, ayat 100,
يَا أَيُّهَا
الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تُطِيعُوا فَرِيقًا مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا
الْكِتَابَ يَرُدُّوكُمْ بَعْدَ إِيمَانِكُمْ كَافِرِينَ
Wahai orang-orang Yang beriman! jika
kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) Yang
diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi
orang-orang kafir sesudah kamu beriman.
Kuliyah Jumaat 28 September 2007
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu