Histats

Arsip Blog

Entri Populer

Hak cipta. Diberdayakan oleh Blogger.
Home » » Gerakan Sekular Dalam Negara Islam

Gerakan Sekular Dalam Negara Islam

Gerakan Sekular Dalam Negara Islam

Pada tahun 1883, Khadiwi Ismail yang memerintah Mesir memasukkan undang-undang Perancis dalam undang-undang Mesir. Kononnya, ia bertujuan mencapai kemajuan seperti Eropah. Di India pula, pelbagai usaha dilakukan bagi menghapus amalan perundangan Islam secara beransur-ansur bermula sejak 1791. Algeria dipaksa supaya tidak beramal dengan undang-undang Islam apabila Perancis menjajahnya pada tahun 1830. Di Turki, Kamal Ataturk menggulingkan pemerintahan Uthmaniah diikuti jajahan takluknya seperti Iraq dan Syria. Negara-negara itu dibahagikan di bawah penjajahan Inggeris dan Perancis. Manakala rantau ini iaitu Indonesia, Malaysia dan lain-lain menerima pengaruh sekular melalui kedatangan penjajah Inggeris, Belanda dan lain-lain.
Walaupun negara-negara Islam merdeka daripada penjajahan, penjajah-penjajah Barat mengubah bentuk penjajahan baru di kalangan anak-anak masyarakat Islam. Generasi muda masyarakat Islam dididik dan diajar supaya menghidupkan gaya hidup sekular. Walaupun namanya berlainan daripada segi cara dan tindakan namun dasar dan sumbernya adalah sama.

Selepas merdeka, pemerintah yang dilantik diwajibkan berfikiran sekular dan meneruskan identiti penjajah. Oleh kerana golongan ini menjadi orang yang berkuasa dalam negara Islam, mereka menggunakan segala kepakaran para sarjana jahat supaya meracun pemikiran rakyat. Contohnya, sarjana Syeikh Ali Abdul Razik yang menjadi Hakim Mahkamah Syariah, Mesir mengarang kitab bernama Al-Islam Wa Usul al-Hukm. Dalam kitab ini, dia memasukkan fahaman sekular dengan memutarbelitkan hukum Islam dan sejarah Nabi Muhammad. Bukunya diterjemah dalam pelbagai bahasa dan dibaca oleh generasi muda Islam yang belajar di Eropah. Oleh kerana buku itu mengancam akidah Islam, Majlis Ulama di Universiti al-Azhar mengadakan perbincangan yang dipimpin oleh Almarhum Syeikh Muhammad Abu al-Fadal al-Bizawi yang menjadi Syeikh al-Azhar pada masa itu. Pengarang buku itu, Syeikh Ali dipanggil. Apabila dia masuk ke dalam majlis dan memberi salam, tidak ada seorang pun di kalangan sarjana menjawab salamnya. Majlis Ulama memecatnya daripada menjalankan tugas Islam di bawah al-Azhar. Namun, pihak penjajah dan kerajaan Mesir membelanya dan meletakkannya di tempat yang dapat digunakan bagi mengelirukan umat Islam.

Selepas peristiwa itu, Syeikh Muhammad al-Khadir Husin, seorang sarjana besar yang pernah memegang jawatan Syeikh al-Azhar mengarang kitab yang bernama Naqdu Kitab al-Islam Wu Usul al-Hukm bagi menolak hujah dan mendedahkan kepalsuan buku sehingga buku itu berjaya dikalahkan. Kemudian, muncul lagi buku-buku bertujuan menyebarkan ajaran sekular namun semuanya berjaya dipatahkan.
Kuliyah Jumaat 16 November 2007
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu

Pengaruh Sekularisme Kepada Umat Islam

Fahaman ini dibawa masuk oleh penjajah ke dalam masyarakat Islam sepanjang tempoh penaklukan mereka ke atas negara-negara Islam. Fahaman sekular bertujuan mengikis fahaman akidah, perundangan Islam (syariah) dan akhlaknya secara beransur-ansur. Antara fahaman-fahaman sekular:
-Memisahkan Islam dengan politik. Mereka mendakwa politik itu kotor sedangkan Islam itu bersih.
-Menghalang perlaksanaan hukum-hukum perundangan Islam dan cara hidup Islam sepenuhnya. Mereka menyatakan ia tidak sesuai pada masa kini. Sebaliknya mereka menghadkan agama dengan urusan ritual dan menjaga diri masing-masing.
-Melemparkan fitnah pada Islam bertujuan mengeliru dan menakutkan masyarakat yang cuba mendekati Islam.

-Menggalakkan cara hidup yang bercanggah dengan Islam. Contohnya mendedahkan aurat, hidup bebas dan menganjurkan majlis keramaian yang bercanggah dengan kepentingan akhlak.
-Menyalah tafsir mengenai Islam. Mereka menyifatkan perkara-perkara yang tidak baik apabila dilakukan secara terbuka menjadi baik. Mereka menganggap gerakan Kamal Ataturk di Turki dan lain-lain sebagai pembaharuan dan membawa kebaikan.
-Menghidupkan semula amalan-amalan Jahiliah dan berusaha melupakan sejarah Islam.
-Menyalurkan fahaman sekular melalui pendidikan, pelajaran dan penyebaran media.
-Menyebarkan ideologi-ideologi bukan Islam ke dalam masyarakat Islam.
Kuliyah Jumaat 09 November 2007
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu


Ajaran Yang Dibawa Oleh Golongan Sekularisme

Ajaran yang dikemukakan adalah:
-Menolak agama seluruhnya dan mengingkari wujudnya Allah. Ada juga golongan yang beriman kepada Allah dan mereka berpegang Allah itu tiada hubungan dengan urusan duniawi.
-Kehidupan itu berasaskan ilmu sains semata-mata dan berada di bawah pengaruh logik dan hipotesis. Sekiranya teori agama terkeluar daripada logik akal, agama itu tertolak.
-Membuat sekatan antara ilmu rohani dengan ilmu material. Mereka menganggap nilai-nilai rohani menghalang kemajuan dan memberi kesan yang tidak baik pada urusan dunia.
-Memisahkan agama dengan politik (pemerintahan). Mereka membina kehidupan berdasarkan kepentingan kebendaan. Semua perkara ini menurut mereka tidak boleh dikendalikan oleh agama.
-Melaksankan dasar Pragmatisme (mencari kesempatan) dalam semua perkara bagi menjalani kehidupan menurut kepentingan dunia.
Kuliyah Jumaat 02 November 2007
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu

Sejarah Kemunculan Sekularisme

Perkataan sekular berasal daripada bahasa Latin yang bererti tiada agama atau duniawi. Terjemahannya dalam bahasa Arab ialah al-Ilmaniah. Orang Arab yang beragama Kristian cuba mengelirukan umat Islam dengan mendakwa kononnya ia daripada perkataan ilmu. Terjemahan yang sebenar al-Ilmaniah ialah duniawi. Alasannya ajaran ini didakwa bersumberkan ilmu dunia yang memberi kemajuan kepada manusia.

Ideologi ini berasal daripada perbalahan hebat antara pemimpin-pemimpin kerajaan dengan paderi-paderi gereja. Begitu juga perbalahan antara sains (ilmu duniawi) dengan paderi-paderi di gereja. Paderi-paderi gereja memegang kuasa dan mementingkan diri sendiri lalu mereka bertarung dengan pemerintah dan juga ahli-ahli ilmu duniawi yang dianggap sebagai penghalang. Perbalahan berakhir dengan melahirkan suatu fahaman yang membawa ajaran supaya memisahkan agama dengan urusan duniawi. Kemudian, ajaran ini bertindak memisahkan agama dengan politik supaya politik “bersih” daripada pengaruh agama.

Ajaran ini diasaskan oleh orang-prang Yahudi pada Revolusi Perancis 1789. Kemudian ia berkembang ke seluruh benua Eropah bagi menyekat pengaruh gereja dalam pemerintahan dan urusan duniawi dalam kehidupan masyarakat.
Tokoh-tokoh yang menghidupkan ajaran ini dinamakan ahli falsafah atau ahli fikir seperti Dikart, Spinuza (beragama Yahudi), Rosu dan lain-lain.
Kuliyah Jumaat 26 Oktober 2007
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu